MENCARI GELIGA DALAM GELITA SIRI 5
Bahagian
5
GELITA 14 Yang Menggegarkan
Bukan sahaja ibu negara semakin geger
sekarang. Seluruh negara sudah bergegar dengan gempita GELITA 14 atau pun BLACK 14.
Pihak Kerajaan sengaja memainkan perasan manusia agar takut dengan keadaan yang
sengaja dihitamkan. Bayangkan apa yang dikatakan oleh para petugas TV semalam. Malahan di
'Malaysia Gemilang', apakah kata-kata Rais Yatim dan Shahidan Kassim akan keadaan yang
mereka bayangkan boleh berlaku. Siapakah mereka yang mahu menyibuk sebagai jurucakap
kepada kumpulan rakyat yang akan berdemonstrasi secara aman itu? Inilah yang dikatakan
pemimpin politik yang tidak sedar diri.
Nampak sangat kedua-dua balaci
Mahathir ini terlalu takutkan kuasa yang ada pada Mahathir sehingga sanggup memperkecilkan
Anwar Ibrahim yang pada satu ketika dulu memang mereka muliakan.
Rahsia
Penyakit Negara Yang Datang Melanda
Anwar tumpas disebabkan keikhlasannya untuk
mengikut perintah seorang ketua yang tidak diketahuinya amat tamak dan haloba. Inilah
bahana terlalu lurus bendul dalam politik. Anwar telah digalakkan untuk mempercayai bahawa
jawatan Perdana Menteri itu adalah miliknya sebelum menjelangnya abad ke-21. Mungkin kerana
keghairahan Anwar terlalu mempercayai ketuanya itu atau pun mungkin juga kerana keikhlasan
berlebihan Anwar menjadi mangsa kepada kepercayaannya sendiri. Yang nyata Mahathir bin
Mohammad memang belum bersedia melepaskan jawatannya kepada sesiapa pun lagi. Dia terlalu
seronok dengan kuasa sehinggakan dia lupa kuasa yang ada tidak dapat menutup pekong yang
mula melanda ekonomi negara. Saya ingin memetik secara ringkasnya satu tulisan Tan Sri
Prof. Harun Mahmud Hashim yang bertajuk "The Root Causes of Our Social Ills and
Challenges for Their Future Management" yang disiarkan oleh Majallah Management
tajaan MIM keluaran March 2000. Kerana kesempitan ruang, izinkan saya menterjemahkan
tulisan yang sungguh baik ini secara ringan sahaja. Kalau ada salah silap harap maafkan.
Sepatutnya saya dapatkan keizinan beliau sebelum memetik tulisan ini. Tetapi, disebabkan
kesuntukan masa saya gagahi juga melanggar etika ini. Semoga yang berbahagia Tan Sri akan
memaafkan saya. Sebagai kenangan mungkin Tan Sri masih ingat seorang insan kerdil yang
selalu duduk bersila di sebelah Tan Sri di Masjid Seksen 5, Petaling Jaya sekitar akhir
60-an. Ketika itu Tan Sri masih menjadi Ketua Pengarah ACA (Badan Pencegah Rasuah). Oleh
kerana kuatnya pengaruh Tan Sri ketika itu , tidak ramai manusia Islam yang berani duduk
di sebelahnya di masjid itu sebelum khatib naik berkhutbah. Tetapi kerana penulis selalu
lambat untuk datang ke masjid ruang kosong yang selalu ada di sebelah Tan Sri( selalunya
di saf terakhir dalam masjid) itu merupakan peluang yang selalu diisi dengan hati yang
lapang.
...... " Sebab Musabab Kelunturan Sosial dan Cabaran Kepada
Pengurusan"
Masa Silam:
"Di zaman penjajah, masyarakat telah
ditakrifkan kepada tiga kumpulan besar:
(a) Masyarakat Kampung - penanam padi,
nelayan, pekerja ladang, pekerja lombong;
(b) Sektor Awam - pegawai kerajaan -
pegawai dan anggota perkhidmatan awam (kerani, teknisyen, kumpulan manual);
(c) Sektor Swasta
- Pekedai dan peniaga Cina dan India, Ekspatriat dari barat di gedung perniagaan, bank dan
profesional tempatan seperti doktor dan peguam.
Ekonomi negara berpaksikan
pertanian dan perlombongan. Kehidupan adalah amat bersahaja dan menyeronokkan. Kurang
perbalahan dan kerajaan kurang mengganggu kerana undang-undang yang minima. Pegawai
kerajaan terutama sekali pegawai atasan adalah dianggap masyarakat yang dimuliakan.
Mereka menerima didikan terbaik dan mempunyai kuasa politik. Tentunya mereka perlu bergaul
rapat dengan pegawai ekspatriat. Kumpulan elit mempunyai pertalian dengan masyarakat
istana dan mengamalkan cara hidup barat dari segi pakaian, keahlian kelab, cara menjamu
selera dan berdansa. Mereka amat rapat bersosial dengan ekspatriat di sektor swasta.
Masa
Kini
"Selepas kemerdekaan satu kumpulan baru muncul pula. Mereka ini adalah
kumpulan politik. Kuasa di tangan ahli politik telah melunturkan kuasa yang pernah
dipegang oleh pegawai kerajaan melainkan segelintir yang berada di puncak kuasa di tahap
kementerian.
"Kemudian proses industrialisasi mewujudkan sektor korporat pula.
Pengaruh kuasa telah berpindah kepada dunia korporat yang sebenarnya menguasai kelas
atasan yang telah berkembang ke tahap antarabangsa dan kosmopolitan. Inilah kumpulan
yang mengandungi peneraju industri, ahli politik, diplomat, golongan istana dan segelintir
pegawai tinggi kerajaan.
"Cara hidup yang mewah dan glamor - mahligai dan
bukannya banglo lagi, kereta mewah, kapal-layar, malahan jet peribadi yang
menyenangkan para korporat ini berterbangan di sana sini dengan isteri mereka untuk
membeli belah di London, Paris, New York dan sebagainya merupakan satu luksarian
yang menjangkiti juga para tokoh politik, pegawai atasan kerajaan, dan golongan istana
yang sebenarnya memang tidak berupaya bergaya sakan seperti itu.
"Sehingga
awal 80-an, kecuali para Sultan yang bersemayam di istana yang diongkosi oleh negara, cara
hidup orang atasan adalah mengikut taraf mereka di bahagian atas kelas menengah. Para
sultan pula, kecuali seorang sahaja di kalangan mereka yang menerima elaun bulanan
sebanyak RM25,000, menerima elaun kurang lagi daripada itu. Malahan para jutawan di era
itu hidup secara bersahaja.
"Memang kita berbangga kerana berjaya mewujudkan
satu kelas menengah yang egalitarian kerana asal usul kelas ini berasal daripada
masyarakat luar bandar yang menjangkau status sosial hasil pelajaran di menara gading.
Begitulah, seorang anak petani atau pun penoreh getah naik ke status kelas menengah setelah
menggenggam ijazah dan mendapat pekerjaan yang memungkinkannya membeli sebuah kereta
secara ansuran.
"Jurang di antara yang kaya dengan yang miskin bukannya lebar
sangat. Namun sejak itu, jurang di antara yang miskin dan golongan atasan yang baru itu
telah semakin melebar laksana apa yang berlaku di Fillipina, Indonesia, India
dan Pakistan sejak beberapa tempoh yang lama. Impaknya si miskin menjadi papa kedana.
Usaha pihak pemerintah membasmi kemiskinan, masih tidak berupaya
mengurangkan jumlah yang di bawah garis kemiskinan walau pun dari segi
peratusan angkanya sudah berkurangan. Masyarakat seperti ini tidak dapat menjamin
stabiliti.
Dadah
"Ketika
peperangan Vietnam, Vietcong telah melemahkan tentera Amerika Syarikat dengan cara
memperkenalkan dadah, terutama sekali kepada anggota tentera yang berkhidmat mengikut
kerahan tenaga. Ini menyebabkan penggunaan dadah secara meluas di Amerika Syarikat selepas
tamatnya perang itu dan masih lagi menular kini.
"Saya pernah menerima
jemputan Pengerusi Suruhanjaya Presiden yang datang ke Kuala Lumpur untuk mengkaji punca
pengedaran dadah di rantau ini. Saya cadangkan kepadanya masalah yang dia hadapi itu dapat
diselesaikan jika disekat bekalan dadah daripada punca bekalannya. Candu adalah
tanaman utama di Segitiga Emas yang terletak dalam wilayah Thailand, Myanmar dan Laos.
Candu adalah tanaman annual, memang diperlukan untuk tujuan perubatan. Apa yang perlu
dilakukan ialah membeli semua hasil tani itu dan hantarkan ke Amerika Syarikat.
Kuantiti yang diperlukan oleh bidang perubatan dibawa ke Amerika. Yang lainnya dihumbankan
saja ke Lautan Pasifik. Usaha ini tentunya menggunakan belanja yang lebih rendah
daripada membiayai DEA (Drugs Enforecement Agency Amerika) Pengerusi yang ketika itu
memegang jawatan governor sebuah wilayah di Amerika menjawab bahawa cadangan itu akan
membuatkan para petugas DEA kehilangan pekerjaan. Dalam laporannya itu dia hanya
mengsyorkan agar DEA lebih berwibawa.
Pada tahun 1968, ketika saya bersama-sama ACA
(BPR) saya membuat laporan kepada kerajaan betapa Parti Komunis Malaya sedang menyerang
anak-anak Melayu di Sekolah Menengah Atas, dan Maktab kerana menganggap inilah bakal
pemimpin negara yang patut diruntuhkan moralnya dengan mengedarkan dadah kepada mereka. Di
waktu yang sama mereka juga diberi modal untuk memerangi kerajaan yang memerintah. Saya
telah mencadangkan agar perkara ini disekat sebelum merebak. Tetapi, kerajaan ketika
itu berpendapat bahawa kes berkenaan belum menular lagi dan tidak perlu dibimbangkan. Yang
sebaliknya telak berlaku, walaupun hukuman mati dikenakan masalah dadah semakin
teruk menyebabkan pembayar cukai kerugian berjuta-juta ringgit dan bilangan yang merana
semakin bertambah. Pihak kerajaan mengambil masa 10 tahun untuk mengakui punca dan
sebab masalah dadah itu di Parlimen seperti yang tertulis dalam laporan saya.
Korupsi
"Ketika
saya dilantik mengetuai ACA (Badan Pencegah Rasuah) perdana menteri ketika itu, Tunku
Abdul Rahman Putra, telah memberikan saya kebebasan mencegah korupsi daripada merebak di
seluruh negara. Saya diberikan kebebasan memilih pegawai daripada perkhidmatan awam dan
pasukan polis dan diberikan juga peruntukan yang tidak ada hadnya oleh pihak
perbendaharaan. Pihak kerajaan tidak pernah campur tangan agensi itu. Malahan
Attorney-General tidak dibenarkan mencampuri tugas pendakwaraya. Saya membuat semua
pertimbangan perundangan mengikut kuasa saya sebagai seorang Timbalan
Pendakwaraya dan pengurusan agensi itu sebagai seorang Ketua Pengarah. Ketika saya
dilantik Hakim Mahkamah Tinggi pada March 1971, masalah yang telah timbul dapat dikawal.
Korupsi hanya boleh dicegah malahan dibasmikan dengan kuasa politik. Tetapi, mengikut
perundangan yang baru, seorang Ketua Pengarah tidak pun mempunyai kuasa undang-undang.
Semua kes korupsi mesti dirujukkan dulu kepada Attorney-General dan sebarang pendakwaan
memerlukan kelulusannya yang bertulis.
"Adalah satu hakikat sejarah di masa
yang terdekat ini, betapa korupsi menyebabkan kejatuhan kerajaan, cetusan tindakan 'coup
d'etat' tentera malahan juga revolusi rakyat.
Kelunturan Sosial dan Moral
"Pengaruh
hidup ala barat melalui media massa, filem, lagu dan cara hidup bebas yang dijerut
pula oleh kekurangan amalan beragama di kalangan penduduk bandar dan kota besar
telah menjangkiti para belia negara ini. Untuk sekian lama, hampir setengah populasi luar
bandar telah berhijrah ke kawasan urban mencari pekerjaan dan kerana tarikan hidup
bandar. Bukan semuanya mendapatkan pekerjaan tetapi enggan balik ke kampung halaman.
Mereka menjadi penagih dadah dan terjebak ke kancah maksiat untuk mengongkosi dadah
itu. Mereka merempat di merata-rata tempat.
"Anak kelahiran kota pula menjadi
punca kejahatan juvena. Walaupun ada yang datang daripada keluarga yang kaya raya,
kesepian telah memaksa mereka mencari teman di luar rumah. Ini adalah disebabkan
kebanyakan ibu bapa yang bekerja dan tidak ada di rumah sehingga lewat petang.
Anak-anak yang ditinggalkan bersendirian bukan sahaja mengabaikan pelajaran
bahkan kelakuan mereka pun terjejas.
Perumahan
"Masalah setinggan
sudah menghantui kita untuk satu tempoh yang lama. Banyak telah dilakukan tetapi kita
terlalu bergantung kepada sektor awak untuk pembinaan rumah yang tidak termampu
dibeli. Perkampungan setinggan adalah punca maksiat dan ketidakpuasan sosial.
Kesihatan
"Satu
ketika dulu kita mempunyai sistem penyeliaan kesihatan yang baik dan mampu diongkosi oleh
semua lapisan masyarakat. Kini semuanya sudah berubah. Yang kaya kena pergi ke hospital
swasta yang diwujudkan untuk menghambat keuntungan bagi para pemegang saham.
Walaupun ini bererti memberikan kemudahan perubatan yang semakin kurang mutunya
semata-mata untuk mendapatkan lebih ramai lagi pelanggannya.
"Yang miskin
pula pergi ke hospital kerajaan. Tetapi disebabkan penswastaan telah juga melanda hospital
kerajaan dari aspek perkhidmatan sokongan, kos urus-selia telah meningkat kerana pihak
swasta yang memberikan perkhidmatan ini mahukan keuntungan juga. Di waktu yang sama
cadangan untuk mengkorporatkan hospital merupakan ancaman yang mengganggu ketua-ketua
hospital kerajaan.
Pendidikan
"Kita harus bangga walaupun kita tidak
ada hukum memastikan pembelajaran, 99 peratus anak-anak yang layak bersekolah sedang
menerima pendidikannya. Sistem persekolahan di mana seorang anak belajar enam tahun di
sekolah rendah, 3 tahun di menengah rendah, 2 tahun di menengah atas dan 2 tahun di pra
universiti. Kursus ijazah memakan masa antara 3 hingga 5 tahun. Sistem pelajaran ini tidak
menghasilkan anak-anak Malaysian yang boleh berfikir. Setakat lulus peperiksaan sahaja.
Masa-masa
Mendatang
"Masalah sosial adalah disebabkan beberapa faktor. Terdapat pelbagai
cara untuk mengatasinya.
Dari Segi Politik
"Kita perlu menganalisis
struktur 'political establishment' untuk menyelesaikan banyak masalah. Tanpa komitmen
politik tidak banyak yang boleh dilakukan sehinggalah tercetusnya revolusi rakyat yang
memang kita cuba elakkan. Yang pertamanya adalah mengenai ahli politik itu sendiri.
Semua mereka itu sepatutnya memiliki pelajaran minima setidak-tidaknya ijazah
pertama daripada universiti. Politik seharusnya merupakan satu kerjaya yang bermula di
tahap majlis bandaran, kemudiannya di tahap negeri dan akhirnya di tahap nasional. Ahli
politik sepatutnya diberi gaji yang memuaskan untuk meyakinkan mereka berkarya sebagai
orang politik. Mereka sepatutnya sudah pun membuat pekerjaan lain sebelum
menceburkan diri dalam politik untuk mendapatkan pengalaman bekerja dan mendapatkan
pendapatan.
Kita boleh membincangkan samada menerima pakai model Westminster .
Mungkin pilihanraya diadakan di Majlis tempatan kerana sistem yang ada sudah tidak boleh
dipakai lagi. Malahan mesti ada kajian cara sistem pilihan ke Dewan Rakyat dan Dewan
Senat.
Pendidikan, Kesihatan dan Perumahan
Ketiga-tiga bidang ini harus
menjadi tanggungjawab kerajaan dan tidak diserahkan kepada sektor swasta.
Pendidikan:
Untuk
sembilan tahun yang pertama, pendidikan tempatan harus dimestikan. Ini memudahkan seorang
anak itu pergi ke sekolah yang sama sehingga dia mencapai umur 15 tahun. Ini
membolehkannya menyesuaikan diri dengan keadaan sekitarnya dengan pengawasan ibu bapa dan
mampu menyerap budaya masyarakatnya dan mengamalkan agamanya. Pendidikan di tahap menengah
atas dan pra universiti harus disatukan di maktab di mana anak-anak disaring untuk
keperluan pasaran tenaga kerja atau pun untuk pelajaran lanjutan di universiti. Penekanan
diberikan kepada kualiti.
Kesihatan
Hospital kerajaan sepatutnya dikekalkan.
Oleh kerana majoriti pesakit adalah orang yang makan gaji, kos perubatan boleh disumbang
oleh SOCSO di bawah satu sistem yang dimestikan.
Perumahan:
"Kemudahan
perumahan untuk disewakan kepada orang awam dengan kadar yang disabsidi patut dibina di
kawasan bandar. Tujuannya ialah untuk menampung kemasukan orang luar bandar dan untuk
menempatkan penghuni perkampungan setinggan yang dimusnahkan.
Majlis Tempatan
"
Anggota majlis patutlah dipilih oleh rakyat. Mereka diberikan tugas mentadbir sekolah,
hospital, dan perumahan mengikut undang-undang dan dasar Persekutuan.
Perkhidmatan
Awam
"Satu perkhidmatan awam yang professional dan berkecuali harus
dikekalkan. Mesti ada satu penentuan agar kuasa politik tidak dicampuradukkan dengan kuasa
perkhidmatan awam itu.
"Ekonomi
Pengurusan syarikat korporat dan bank
hendaklah diserahkan kepada para professional hingga ke tahap atasannya. Para
politik tidak dilantik ke jawatan pengerusi dan presiden syarikat ini. Semua kontrak
kerajaan hendaklah diberikan melalui tender terbuka. Biarlah setiap organisasi
swasta maju dengan usahanya sendiri. Penglibatan kerajaan hendaklah terhad kepada
menyediakan infrastruktur yang diperlukan seperti tapak industri, jalan raya, perkhidmatan
kereta api, pelabuhan, bekalan tenaga, air dan telekomunikasi.
Pertanian:
"Reformasi
tanah ke arah pengeluaran makanan yang maksimum hendaklah dirancang. Contohnya, tanah sawah
boleh disatukan menjadi satu program usaha sama di mana tuan punya tanah diberikan saham.
Mereka yang menyumbang tenaga diberikan gaji selain daripada dividen saham. Penggunaan
jentera dan teknik penanaman terkini diperkenalkan. Para petani hendaklah merasakan
nikmat cara hidup terkini setara dengan apa yang dinikmati oleh orang bandar.
Pengagihan
Kekayaaan
"Dalam penentuan pengagihan kekayaan, sistem pencukaian hendal
memberi ruang kepada perbelanjaan ke arah pelajaran, kesihatan, perumahan dan pembasmian
kemiskinan. Setiap rakyat harus mendapat kemudahan percuma di hospital bila diperlukannya
tanpa perlunya si miskin itu meraung mencari bantuan untuk mengongkosi beban pembedahan.
Dadah
"Penagih
dadah tidak seharusnya dihukum dan dihantar ke penjara. Mereka akan menjangkiti
banduan lain dan juga para petugas penjara yang mungkin tertarik untuk menjadi pembekal
dadah kepada mereka. Penagih dadah adalah orang sakit jua dan mesti diasingkan
dengan menggunakan 'Fort" atau pun stesen atau pun kubu lama kepunyaan
polis di dalam hutan dan diberikan rawatan di situ. Menyimpan ganja seharusnya tidak
menjadi satu kesalahan seandainya si pemegang bukan seorang penagih. Hukuman
10 tahun sebagai hukuman maksimum sudah mencukupi. Namun, bagi pengedar dadah yang
berbahaya mereka tidak patut diberi layanan yang ringan.
Korupsi:
"Semua
pihak harus terlibat dalam pembasmian korupsi. Yang korup harus dianggap sebagai
musuh negara kerana kita tidak mahu korupsi menjadi satu cara hidup. ACA (BPR harus
diletakkan di bawah kuasa Parlimen).
ISLAM
"Islam bangkit di abad ke-15.
Kini Islam berada di ambang hijrah ke-15. Kebangkitan Islam yang melanda seluruh dunia
harus diambil kira. Di negara ini ia sudah menghayun momentum selama 30 tahun. Profesional Melayu semakin rapat dengan ajarannya
walau pun mereka menerima pendidikan
barat.
"Kerajaan telah terbabit secara terus membina masjid di seluruh negara.
Begitu juga dengan perbankan Islam dan insuran, penyebaran ajaran Islam di seluruh
dunia dan juga kepada penubuhan Universiti Islam Antarabangsa di Malaysia. Penyebaran Islamiah bukan lagi menjadi kerjaya ulama kampung. Sekarang ini golongan ulama
adalah lebih berpendidikan. Mereka berkelulusan tinggi di universiti; fasih bertutur
bahasa Inggeris, Arab dan Bahasa Melayu. Ramai juga yang fasih dalam bahasa yang lain.
Dasar kerajaan mengevolusikan kebangkitan Islam telah melahirkan satu kuasa yang kini
mampu bergerak dengan kekuatannya sendiri yang tidak mungkin berpatah balik. Kini kita
harus menyedari hakikat ini dan berdepan dengannya sama ada sebagai orang Islam atau pun bukan
Islam.
"Perhatikan sahaja jumlah wanita Islam yang bertudung, tanda 'HALAL' di
kedai , di supermarket, dan di hotel lima-bintang. Begitu juga dengan tanda
menunjukkan arah kiblat di bilik-bilik hotel. Dalam satu masa yang singkat masjid
mudah dipenuhi oleh para jemaah yang berbondong-bondong. Fenomena ini amat berbeza dengan
keadaan pada tahun 70-an dulu di mana pengunjung masjid adalah terdiri daripada golongan
tua dan yang menghabiskan usia pencen mereka. Pernah satu ketika dulu Shah Iran ditanya
apakah beliau mempunyai seorang ulama sebagai ahli parlimennya. 'Ya' jawabnya. "Itu
pun dah lebih..."
Ketika kepercayaan kepada Allah dan kesetiaan kepada nilai
murni hidup merupakan akidah kita, unsu-unsur ketaksuban yang melampau harus dibendung
melalui dakwah, pengetahuan dan persefahaman jua.
Kesimpulan Awal
Tan
Sri Harun Hashim adalah orang lama dalam dunia perundangan. Lebih lama lagi daripada Rais
Yatim. Malahan, Rais Yatim patut belajar lagi daripada beliau semasa beliau masih gagah
lagi. Saya menterjemahkan ucapan beliau ini agar kita mengambil iktibar darinya.
Dari
keseluruhan ucapannya itu kita dapat menyingkap bagaimana merosotnya nilai hidup dan
martabat bangsa Melayu itu sejak Mahathir Mohammad memerintah negara ini. Kalaulah sistem
perundangan tidak diputar belit seperti yang berlaku ke atas Tun Salleh Abas, kita
mungkin tidak terjumpa kes yang jijik-jijik seperti yang sedang kita hadapi sekarang. Kes salah guna kuasa oleh Rafidah Aziz, kes Rahim Nor, malahan kes menuduh dan memfitnah
Anwar, Dr. Anis, Azmin, dan banyak lagi. Semua ini adalah mainan politik seorang diktator
tua yang gilakan kuasa. Bayangkan siapakah yang rugi dengan segala kos berbangkit di
mahkamah sekarang ini. Adakah Mahathir pernah menyumbang kepada cukai
pendapatan negara? Adakah anak-anak Mahathir yang menerima begitu banyak bantuan kewangan
untuk menyelamatkan syarikat mereka mengeluarkan zakat dan di mana kalau boleh kita tahu.
Kini
GELITA 14 dipertikaikan sedangkan ia hanya merupakan satu manifestasi rakyat betapa
cara-hidup rakyat itu perlu berubah. Kita sudah lama menantikan perubahan daripada para
pemimpin UMNO yang kita sokong selama ini sejak negara merdeka. Pernahkah Mahathir,
Paklah, Rais Yatim, Shahidan Kassim memikirkan betapa banyakkah janji-janji manis UMNO
yang tertunai sudah yang dapat diterima rakyat dengan senang hati?
Menyedari
hakikat ini kalau saya menjadi pemimpin UMNO saya akan biarkan rakyat berkumpul untuk
sembahyang hajat atau pun berjemaah untuk mendapatkan berkat usaha mereka. Biarlah mereka
berkumpul sambil bernyanyi tanpa sebarang gangguan. Bukankah ini yang
dijanjikan oleh mereka ? Bukankah mereka mahukan satu ruang untuk bersuara sambil ketua
mereka menyampaikan satu memorandum rakyat secara aman?
Apa gunanya mengugut rakyat
setiap kali mereka mahu berkumpul dengan aman? Esok lusa bukankah rakyat yang sama yang
akan dihadapi untuk dirayu undi mereka menyokong kerajaan yang pasti akan ditentang oleh
Barisan Alternatif di pilihanraya semula? Sepatutnya era alaf baru sudah mampu memberi
pengajaran kepada Mahathir dan para juaknya. Alaf baru ini sepatutnya memberikan dia
ruang yang luas untuk memahami hati rakyat. Dia patut sudah lama sedar bahawa rakyat di
alaf baru ini tidak akan sanggup terus hidup dalam kegelitaan disebabkan seorang diktator
yang sentiasa mahu terus bergayut kepada kuasa yang sudah tidak dihalalkan oleh rakyatnya.
Yang
semakin dipersoalkan oleh rakyat sekarang ini; kita tahu Mahathir sudah semakin nyanyok,
kenapakah para juak dalam majlis tertinggi UMNO masih mempercayainya? Apakah mereka juga
sudah semakin nyanyok juga? Apakah para pemimpin UMNO yang lain mahu turut serta Mahathir
mencabar kebesaran Allah swt............?????
Marhaintua@Hotmail.com 14.2.2000
|